Khairy Jamaluddin

MELAKA – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar ditangguhkan beberapa bulan lagi sehingga fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu tidak menunjukkan gelombang Covid-19 yang serius.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, risiko jangkitan Covid-19 dengan mengadakan PRN adalah lebih besar terutamanya setelah memasuki fasa peralihan ke endemik.

Menurutnya, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah bersedia memastikan keselamatan jika diadakan PRU, namun ia sewajarnya ditangguhkan sehingga beberapa bulan lagi.

“Kalau kita nak cermat, betul-betul nak jaga kesihatan awam, kita boleh tunggu dulu sehinga beberapa bulan lagi selepas fasa peralihan ke endemik ini supaya tak cetuskan gelombang yang serius.

“PRN banyak benda kita boleh kawal, tapi lepas ini (fasa peralihan ke endemik) dengan tiada apa-apa sekatan lagi mestilah parti-parti politik akan minta buat ceramah. Dulu (PRN) kita tiada ceramah besar-besaran.

“Jadi bagi saya adalah lebih baik kita berwaspada, berhati-hati lagi pun tiada apa-apa desakan rakyat untuk diadakan PRU, ini lebih kepada desakan politik jadi lebih baik kita cermat, kita selamat dulu beberapa bulan lagi. Tapi dari segi bila masa (PRN) itu, lebih baik serah pada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Melaka dan Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di Banda Hilir di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Khairy (tengah) meninjau reruai pameran sempena Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Melaka dan Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di Banda Hilir, Melaka hari ini sambil

Mengulas lanjut, Khairy turut menegur ahli politik agar tidak membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat dengan mengatakan negara sudah tamat pandemik dan memasuki fasa endemik.

“Fakta kena betul, dia (Ketua Pegerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) sebut pandemik dah tamat di Malaysia itu tak betul, kita masih lagi dalam fasa peralihan ke endemik, lagi pun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi umum Covid-19 sebagai sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) yang boleh ditamatkan.

“Bila diumumkan nanti, Malaysia juga akan buat pengumuman bahawa kita tidak lagi akan guna Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Tapi sekarang ini kita belum masuk dalam fasa endemik, masih lagi dalam fasa peralihan ke endemik maksudnya kita masih lagi ada beberapa sekatan seperti perlu memakai pelitup muka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, mana-mana ahli politik termasuk rakyat juga tidak keliru dan perlu menggunakan fakta yang tepat berkaitan endemik.

“Fasa endemik ini bila kita dah boleh hidup tanpa perlu laporkan lagi kes-kes harian (Covid-19) tapi kita masih lagi lapor kes secara harian kerana gelombang akan datang dan pergi, jadi kita masih lagi bersikap berhati-hati,” katanya.

Semalam Ketua Pegerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki parti itu terus konsisten dengan desakan perlunya rakyat dikembalikan mandat melalu PRU dengan mengemukakan beberapa hujah.

Antara hujah dikemukakan yang dikatakan salah adalah pandemik Covid-19 secara rasmi berakhir pada 1 Mei 2022 apabila Kerajaan mengumumkan negara memasuki fasa endemik dan rakyat sudah mencapai imunisasi berkelompok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast