Mahendran A/L V. Ponnudurai bercakap pada sidang media mengenai penipuan skim pelaburan Agarwood oleh Asia Plantation Capital melibatkan kerugian jutaan ringgit di Royal Selangor Club, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2022.

KUALA LUMPIUR – Lebih 200 individu mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM22.6 juta apabila pelaburan bagi projek penanaman pokok gaharu yang dilaksanakan sebuah syarikat antarabangsa tidak menjadi.

Menurut maklumat, kes bermula seawal 2011 apabila syarikat terbabit mula mengiklankan mengenai pelaburan tanaman pokok gaharu di sebidang tanah yang diperoleh menerusi pajakan di sebuah kawasan di Thailand.

Difahamkan, iklan mengenai pelaburan itu diuar-uarkan menerusi pelbagai platform seperti akhbar, laman sosial dan panggilan ejen.

Malah, ada juga mangsa yang tertarik apabila diberitahu secara lisan menerusi kenalan rapat.

Salah seorang individu yang mewakili mangsa, Dr. V Mahendran berkata, pelaburan itu menjanjikan pulangan lumayan memandangkan minyak gaharu pada masa itu mempunyai permintaan tinggi di pasaran global dengan setiap minyak gaharu dijangka boleh dijual pada harga S$400.

Menurutnya, perolehan jualan akan diberikan dalam mata wang dolar Singapura (SGD), selepas potongan 17.5 peratus bagi kos menuai dan komisen jualan.

Pelabur juga dimaklumkan oleh pihak syarikat terbabit bahawa penjagaan pokok akan dilakukan oleh pihak profesional dan berpengalaman bagi memastikan tanaman itu akan tumbuh dengan baik, katanya.

“Transaksi jualan oleh mangsa berada dalam lingkungan puluhan ribu hingga ratusan ribu bergantung kepada jumlah pokok yang dibeli malah, ada yang merekodkan transaksi melebihi RM500,000.

“Transaksi tersebut diterjemah kepada SGD memandangkan syarikat itu pada 2011 masih belum ada pejabat di Malaysia,” katanya.

Menerusi perjanjian jual beli tersebut beliau mendakwa, syarikat terbabit memberitahu bahawa pokok gaharu itu akan mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk mencapai proses kematangan sebelum ia boleh dituai.

Katanya, ketika perjanjian pembelian itu dilakukan, mangsa-mangsa juga diberitahu mereka akan dimaklumkan mengenai perkembangan tanaman yang dibeli menerusi laporan secara tahunan.

Malah katanya ada juga yang dibawa untuk melihat sendiri tanah tanaman itu di Thailand, kononnya sebagai bukti bahawa pelaburan tersebut adalah sahih.

Namun begitu, selepas kontrak perjanjian jual beli ditandatangani, syarikat terbabit tidak memberi maklum balas seperti yang dijanjikan dan terus berdiam diri sehingga mereka dihubungi oleh mangsa-mangsa.

Jelasnya, mangsa-mangsa yang kemudian menghubungi syarikat terbabit bagi mengetahui status terkini diberikan pelbagai alasan hingga ada yang ditawarkan pula pejanjian baharu dan menyebabkan mereka kecewa.

Ekoran itu katanya, kesemua mangsa menolak perjanjian baru itu kerana merasakan sudah ditipu dan mendesak supaya syarikat tersebut memulangkan wang mereka memandangkan perjanjian kontrak telah dilanggar beberapa kali sebelum ini.

Walaupun kecewa dengan keputusan itu, mangsa-mangsa bagaimanapun tidak berputus asa dan berpakat membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Difahamkan, pihak mahkamah telah mengeluarkan arahan kepada polis supaya menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas permohonan di hantar ke Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur pada 2 Mac lalu.

Mahendran turut memberitahu, pihaknya turut memfailkan saman terhadap syarikat itu dua tahun lalu dan pengurusan kes telah berlangsung pada 31 Mac lepas.

Katanya lagi, mereka kini hanya mengharapkan agar keseluruhan wang yang dilaburkan dipulangkan.

Mereka kini tidak mengharapkan pulangan keuntungan, memandangkan pihak syarikat gagal mengotakan janji dalam mematuhi kontrak selain tiada petanda projek itu akan berhasil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast