Hairy

JOHOR BAHRU – Golongan muda diingatkan agar tidak terlalu memilih dalam mendapatkan pekerjaan sebelum peluang berkenaan direbut warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak industri ada kalangan orang muda yang bersifat memilih biar pun pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan. 

Menurut beliau, antara kriteria yang diberi perhatian oleh golongan berkenaan adalah gaji, jenis pekerjaan dan lokasi tempat kerja.

“Bagi mengelakkan peluang-peluang pekerjaan tersebut diberikan kepada warganegara asing, adalah lebih baik sekiranya majikan dapat mengutamakan warganegara tempatan, khususnya orang muda.

“Ini kerana golongan itu antara yang terkesan termasuklah kehilangan pekerjaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 lebih dua tahun lalu.

“Namun dalam masa sama, golongan berkenaan juga diminta agar tidak terlalu memilih pekerjaan khususnya dalam keadaan situasi semasa dimana terdapat banyak peluang pekerjaan ditawarkan pelbagai industri di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Fiesta Seni Mini Johor di pusat beli belah Paragon Market Place tadi.

Menurut Mohd Hairi, golongan pencari kerja perlu memenuhi peluang-peluang pekerjaan yang tersedia di seluruh negeri dan juga negara sebelum peluang tersebut direbut golongan warga asing.

Baru-baru ini, media melaporkan pelbagai sektor termasuklah perkhidmatan dan pembuatan mengalami kekurangan pekerja sekaligus membangkitkan persoalan di mana anak-anak muda negara ini berada dan apakah yang dilakukan mereka sebagai punca pendapatan.

Sementara itu, kerajaan Johor juga sebelum ini dilaporkan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengatasi masalah pengangguran melibatkan warga tempatan dan juga rakyat tempatan yang lebih menumpukan peluang pekerjaan di Singapura.-MalaysiaGazette