Dr. Sukumaran Nair

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) melahirkan rasa kesal kerana pemilihan 25 agensi pekerjaan yang dibuat kerajaan tidak melibatkan pihak berkepentingan termasuk pemain industri itu.

Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair mendakwa, pihaknya tidak dipanggil Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedangkan mereka mempunyai kepakaran, berpengalaman dan diberi lesen C dalam merekrut pekerja asing.

“PAPSMA tidak dipanggil KSM sebelum memilih 25 agensi pekerja asing.

“Kita tak relevan kot, sebelum ini pun tak pernah dipanggil (beri pandangan dan input).

“Kita sudah cadangkan dua tiga kali kepada kementerian (KSM) cuba memanggil kita untuk beri maklum balas tapi tiada.

“Sebagai pemain industri, kita tidak dijemput itu masalah sekarang ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini wujud dakwaan terdapat monopoli dalam pengambilan pekerja dari Bangladesh selepas kerajaan bersetuju untuk melantik 25 BRA utama dan 250 sub-ejen.

Kebimbangan itu dibangkitkan Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) yang tidak senang dengan jumlah itu.

BAIRA juga meminta peluang sama rata diberikan kepada hampir 1,600 ahlinya untuk dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia.

Sukumaran juga mempersoalkan tindakan kerajaan dalam mengehadkan hanya 25 agensi pekerja asing sedangkan pihaknya tidak dipanggil dalam libat urus kerajaan.

“Kalau kerajaan tak jemput pakar atau pemain industri, tak tahu dia berbincang dengan siapa.

“Siapa yang bagi maklumat dan sebagainya bila kita sahaja di Lapangan.

“Kita ada lebih 100 syarikat lesen C diberi kuasa oleh kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing dan bawa pekerja tempatan ke luar negara.

“Kita diberi kuasa, bagaimana kita tidak dibawa untuk berbincang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette