Idris Ahmad

SUNGAI BESAR – Pas masih bertegas untuk tidak membubarkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran parti itu sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). 

Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu diputuskan oleh kepimpinan parti.

“Keputusan parti kita tiga negeri yang diketuai oleh Menteri Besar Pas takkan dibubarkan sehinga tamat penggal. Setakat keputusan hari ini, akan datang kita tidak tahu.

“Kuasa untuk bubar DUN ini adalah kuasa Menteri Besar dan di peringkat Persekutuan adalah di tangan Perdana Menteri.

“Kita sudah putuskan lama,” katanya kepada media dalam majlis pecah tanah Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) di Sungai Panjang, hari ini.

Idris berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya diberi peluang untuk mentadbir negara sehingga habis penggal.

Hadi juga berkata tempoh selepas habis penggal tersebut merupakan waktu sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata adalah lebih baik kerajaan dibenarkan untuk terus fokus dalam menyelesaikan masalah-masalah yang menghimpit rakyat kini.

“Pas kita nak tumpu kepada habiskan penggal dan kita tumpu kepada sosioekonomi rakyat yang makin tertekan, ini yang kita nak sebab politik sudah agak stabil, ekonomi pun sudah agak baik,” katanya lagi.

Mac lalu, Abdul Hadi menegaskan Pas tidak akan membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga tamat tempohnya.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, ia bagi memberikan tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat. – MalaysiaGazette