Foto: PDRM

SHAH ALAM – Sepasang suami isteri maut setelah motosikal yang ditunggangi mereka terbabas di Jalan Banting- Dengkil awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, dalam kejadian pada kira-kira 6 pagi itu, motosikal ditunggangi pasangan muda yang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke arah Banting dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar papan tanda amaran di bahu kiri jalan.

“Penunggang motosikal iaitu lelaki berumur 21 tahun manakala pembonceng perempuan berumur 16 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222. – Bernama