Gambar hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2 juta kenderaan dijangka berada di lebuh raya kendalian PLUS hari ini,  sempena cuti Hari Keputeraan Yang DiPertuan Agong yang serentak dengan cuti sekolah.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, situasi ini akan menyebabkan masa perjalanan lebih lama untuk sampai ke destinasi.

Justeru itu, beliau menasihatkan pemandu berhati-hati dalam masa yang sama mematuhi peraturan lalu lintas memandangkan jumlah kenderaan yang tinggi di lebuh raya.

Zakaria turut menyarankan agar pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan bijak.

“Rancang perjalanan dengan aplikasi PLUS dan WAZE atau Google Map,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menasihatkan agar pengguna memastikan baki Touch ‘n Go (TnG) mencukupi bagi mengelakkan kesesakan di lorong tol.

“Pengguna Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) disaran masuk dan keluar melalui lorong RFID,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu Zakaria mengingatkan agar pemandu rehat setiap dua jam di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) berdekatan.-MalaysiaGazette