Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar. Foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil dan mengambil keterangan daripada 10 individu bagi membantu siasatan penemuan dua mayat remaja di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di ruang parkir sebuah kondominium di Bandar Permaisuri, Cheras baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua individu yang dipanggil adalah dalam kalangan keluarga dan rakan kedua-dua simati.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian kedua-dua individu itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.

Pada 29 Mei lalu, media melaporkan penemuan dua mayat remaja berusia 19 tahun di dalam sebuah MPV yang diparkir di kawasan bawah tanah sebuah bangunan kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Hasil pemeriksaan di lokasi, polis menemui mayat remaja wanita di bahagian penumpang hadapan dan mayat mangsa lelaki di tempat duduk belakang.

Tambah beliau, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dua individu terbabit dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dan pakar perubatan telah menghantar sampel ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. – MalaysiaGazette