Prajiv Lionel Proctor didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghina institusi raja dan agama Islam di laman sosial Facebook tiga tahun lalu.

MELAKA – Seorang sukarelawan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghina institusi raja dan agama Islam di laman sosial Facebook tiga tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Prajiv Lionel Proctor, 40, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan juruhabasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan akaun Facebook miliknya, ‘Lionel Proctor’ secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menghina agama Islam dan institusi raja.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 petang di KM4 Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Disember 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta ama.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan  boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam, Ishak Mohd Kari dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana tertuduh telah menyesal, insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatannya itu.

Tertuduh juga katanya telah menerima kesan langsung akibat perbuatannya itu apabila kehilangan pekerjaaan dan terpaksa bergantung kepada kedua ibu bapanya untuk menyara kehidupan.

Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab semasa berkomunikasi dalam media sosial.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Nariman menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayarnya.- MalaysiaGazette