Eric (depan) menunjukkan tanah mendap di lokasi turapan sementara di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa Jabatan Kerja Raya serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menubuhkan pasukan pemantauan bagi memeriksa hasil kontraktor yang melakukan kerja-kerja penurapan jalan di negeri ini.

Ia susulan sekurang-kurangnya 10 kes aduan infrastruktur atau jalan yang tidak diturap sempurna diterima pihak mereka setiap bulan.

Jurucakap Parti Gerakan Kawasan Air Itam, Eric Woo berkata, keadaan jalan tidak beralun, lubang serta rosak itu dikatakan berpunca daripada kontraktor pelbagai agensi yang melakukan kerja-kerja pengorekkan tanah di laluan tersebut.

Eric.

Jelas beliau, agensi berkaitan gagal menurap semula jalan terbabit dengan sempurna sekali gus mengancam keselamatanpenunggang motosikal dan basikal yang melalui laluan itu.

“Penampalan jalan di beberapa lokasi yang kami terima aduan itu dilihat sebagai turapan sementara kerana projek di kawasan berkenaan belum selesai tetapi aspek keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh diabaikan.

“Berdasarkan tinjauan hari ini kita dapati laluan di Jalan Masjid Negeri yang merupakan laluan utama penduduk negeri ini tidak diturap sempurna hingga menyebabkan jalan mendap setebal 2.5 sentimeter berbanding jalan asal.

“Kita mahu tindakan drastik diambil berhubung isu ini bukannya tunggu bila ada kemalangan atau kehilangan nyawa berlaku baru nak bertindak,” katanya hari ini.

Laluan di Bukit Gambir yang turut mengalami masalah sama.

Terdahulu beliau bersama beberapa ahli Parti Gerakan Pulau Pinang meninjau Jalan Masjid Negeri yang mengalami masalah jalan rosak akibat diturap tidak sempurna kira-kira hampir 100 meter.

Selain Jalan Masjid Negeri, Jalan Bukit Gambir, Jalan Farlim serta Jalan Yap Chor Ee turut didakwa mengalami masalah yang sama.

Mengulas lanjut Eric berkata, JKR dan MBPP juga digesa mengkaji semula piawaian penampalan jalan kekal atau sementara dengan mengambil berat aspek keselamatan pengguna yang melalui jalan tersebut.

“Kita juga harap skuad pemantauan dua agensi ini kerap turun padang bagi memeriksa hasil kerja kontraktor yang melaksakan turap ibarat melepaskan batuk di tangga,” ujarnya.

Sementara itu, penunggang motosikal, Mohd Naim Yusoof, 29, berkata, dia hampir terjatuh selepas hilang kawalan akibat dihimpit kenderaan besar ketika melalui laluan yang tidak diturap sempurna di Jalan Masjid Negeri.

“Kami kecil semestinya lalu di bahagian kiri jalan tapi bila ada kereta memotong kami dihimpit ke laluan yang tidak rata.

“Nasib tak jatuh, kalau tidak mesti saya digilis kerana laluan ini sentiasa sibuk,” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan