Masih lagi kedengaran rintihan dan keluhan segelintir golongan yang tidak mendapat gaji minima RM1,500 yang mula dilaksanakan kerajaan sejak Mei tahun ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Masih lagi kedengaran rintihan dan keluhan segelintir golongan yang tidak mendapat gaji minimum RM1,500 yang mula dilaksanakan kerajaan sejak Mei tahun ini.

Malah masih ada majikan masih berdegil dan memberikan pelbagai alasan untuk tidak mematuhi pelaksanaan yang ternyata memberi kelegaan kepada rata-rata pekerja.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamudin Hashim berkata, masih ada pelbagai aduan terutamanya pekerja pembersihan dan keselamatan sekolah yang mendakwa pihak kontraktor tidak  melaksanakan gaji minimum tersebut.

“Kita difahamkan majikan golongan pekerja itu memberikan alasan antaranya kontrak antara mereka dan kerajaan masih lagi berdasarkan gaji minimum lama tetapi ingatlah objektif sebenar mengapa gaji minima ini dilaksanakan sebelum ini. Ianya bertujuan untuk membantu golongan yang benar-benar susah untuk mendapat tangga gaji sewajarnya.

“Kerajaan perlu bertegas dan ambil tindakan undang-undang jika perlu terhadap mana-mana majikan degil selain mewartakan juga kenaikan gaji minimum bagi memastikan kontraktor membayar semua pekerja syarikat termasuk syarikat yang menggaji kurang daripada lima pekerja kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjayakan polisi dan undang-undang sendiri.

“Pihak kerajaan juga telah merancang dan akan membawa masuk lebih banyak warga asing dari negara tertentu masuk ke sini dengan jumlah besar, bayangkan rata-rata warga asing ini akan mendapat manfaat lebih banyak dari rakyat tempat jika gaji masih di takuk lama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Gaji minimum RM1,500 tarik pekerja tempatan ceburi bidang keselamatan

Hishamuddin mengulas  kenyataan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendesak kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan kepada pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan yang bertugas di bangunan kerajaan sepertimana yang ditetapkan.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan gaji minimum RM1,500 akan tetap dilaksanakan berkuatkuasa 1 Mei lalu meskipun ada permintaan termasuk daripada majikan supaya ia ditangguhkan.

Bagaimanapun, Saravanan berkata, penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja adalah pada 1 Januari depan.

Penangguhan kuat kuasa gaji minimum itu kepada majikan bertujuan memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk membuat persediaan sewajarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin juga melahirkan kerisauannya selepas pelaksanaan gaji minimum yang menjadi punca tercetusnya pula kenaikan harga barang.

“Tidak ada bezanya apabila gaji naik tetapi harga barang juga ikut sama naik. Kenaikan gaji minimum ini pula bukanlah dinikmati oleh semua pihak.

“Kita harap juga kerajaan akan cari jalan untuk turunkan harga barang terutamanya keperluan barangan asas bagi mengelakan rakyat terbeban walaupun selepas kenaikan gaji minimum kelak, harap sangat isu ini juga diberi perhatian,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast