KUALA LUMPUR – Malaysia membuka langkah kanan apabila menang bergaya ke atas Turkmenistan dalam aksi Kumpulan E Pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di sini malam tadi.
Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kendalian Kim Pan Gon tidak mengambil masa yang lama untuk membuka gol pertama menerusi jaringan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-11.
Turkmenistan menduduki carta ke-134 dunia itu terus tertekan apabila sekali lagi Harimau Malaya mengambil kesempatan daripada kesilapan yang dilakukan bek pertahanan pasukan itu.
Pemain sayap licik, Faisal Halim menggandakan jaringan hasil rembatan kencang ke gawang lawan pada minit ke-16 dan meletakkan Malaysia 0-2 di hadapan.
Anak buah Kim Pan Gon terus ghairah menyerang menerusi Arif Aiman Hanapi di sayap kiri yang berjaya mengkucar-kacirkan keadaan dan sentiasa memberi masalah kepada pertahanan lawan.
Bagaimanapun, kesilapan pertahanan tuan rumah menyebabkan Turkmenistan berjaya mengambil kesempatan dan membuka jaringan pada minit ke-38 menerusi Altymyrat Annadurdyyev.
Gol itu memberi semangat kepada Turkmenistan untuk terus mencari gol penyamaan.
Namun, tujuh minit kemudian Harimau Malaya sekali lagi ‘mengaum’ di gawang lawan apabila Corbin Ong menghadiahkan gol ketiga untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-45 sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiup pengadil perlawanan.
Sepanjang separuh masa pertama itu, Harimau Malaya mempamerkan aksi terbaik dengan mendominasi permainan sepenuhnya dengan hantaran bola dan serangan berintensiti tinggi.
Bagaimanapun pada separuh masa kedua, pasukan lawan seolah-olah sudah membaca taktik Harimau Malaya mula menguasai permainan dengan menghalang beberapa percubaan Malaysia dan mengatur serangan balas di gawang tuan rumah.
Skuad kebangsaan kendalian Pan Gon pada minit ke- 74 telah melakukan pertukaran dengan membawa masuk Mohamadou Sumareh dan Muhammad Syafiq Ahmad untuk mengekalkan permainan bermomentum tinggi pasukannya.
Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya kekal menutup perlawanan dengan keputusan 3-1 sekaligus mengesahkan tiga mata pertama untuk mengungguli carta Kumpulan E.
Manakala Bahrain menduduki tempat kedua dengan kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung petang tadi. – MalaysiaGazette