Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melakukan pemeriksaan barisan kehormat pada Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan mencemar duli ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda bertempat di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.

Sebaik keberangkatan pukul 8.30 pagi bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, nyanyian lagu Negaraku dimulakan yang turut disertai bersama dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri. Che Wil.

Turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berbual bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2022.

Sempena istiadat ini sebanyak lima Panji-Panji Yang DiPertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ia melibatkan 131 pegawai dan 1,066 anggota lain-lain pangkat (LLP) di mana dari jumlah keseluruhan tersebut, seramai 57 pegawai dan 847 anggota LLP diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Fadzly Mohd Yasin, Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) adalah mereka
yang terlibat dalam perbarisan istiadat berkenaan.

Pasukan Kawalan Kehormat yang membawa Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong melintasi pentas Diraja pada Istiadat Perarakan panji-panji sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2022.

Sebanyak lima buah pesawat ATM turut terlibat iaitu tiga buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM diketuai oleh Mejar Nazrul Nizam Ismail

Perbarisan mengarak panji-panji adalah satu istiadat gilang gemilang kepada ATM dan merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara.

Penganugerahan panji-panji kepada perkhidmatan atau pasukan di dalam ATM merupakan pengiktirafan, penghormatan dan lambang kesetiaan sesebuah perkhidmatan/pasukan berkenaan kepada Raja dan Negara.

Ianya juga dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi dan menjadi kemegahan kepada sesuatu perkhidmatan/pasukan itu.

Pada istiadat itu turut berlangsung perbarisan berjalan laju dalam tempoh perlahan dan cepat, perbarisan mara menghadap serta laungan ‘Daulat Tuanku’.

Istiadat pada hari ini diakhiri dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku bersekali lintas helikopter ATM.

Sultan Abdullah kemudiannya berangkat meninggalkan majlis pukul 11.49 pagi.

Sementara itu, istiadadat ini diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019, istiadat ini yang sepatutnya diadakan pada tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan atas penularan pandemik Covid-19 melanda seluruh negara.

Tahun ini serta selaras dengan negara telah memasuki fasa endemik, Seri Paduka telah berkenan untuk istiadat berkenaan dilaksanakan pada tahun ini,” kata kenyataan Kementerian Pertahanan. – MalaysiaGazette