Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni masyarakat Orang Asli sempena Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-23 dan Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di Bera hari ini.

BERA – Bagi mengatasi masalah keciciran pelajar sekolah dalam kalangan masyarakat Orang Asli – kerajaan akan mengkaji cadangan menghantar seorang guru ke setiap perkampungan golongan pribumi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan tersebut akan dipertimbangkan dan akan dikaji menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan pelajar darjah satu hingga enam mendapat pendidikan.

Meskipun beliau tidak tahu jumlah keciciran dalam pendidikan awal dan sekolah rendah namun pihaknya pasti jumlah tersebut sudah berkurangan kerana hampir kesemua masyarakat Orang Asli menyedari kepentingan menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Yang penting, hampir tiada yang tidak hantar anak ke sekolah. Malah, pendidikan awal kanak-kanak pun kita telah naik taraf.

“Kerajaan akan menghantar seorang atau dua guru ke kampung, konsep satu guru, satu kampung itu bagi memastikan tiada atau sifar keciciran pendidikan dalam pendidikan awal anak-anak Orang Asli,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-23 dan Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengutamakan masyarakat Orang Asli bagi memastikan golongan tersebut juga mengakses kepada sistem pendidikan awal negara.

“Walaupun dasar Tabika Kemas perlu 20 orang ke atas tapi kalau membabitkan masyarakat Orang Asli, 10 orang pun kita buka,” ujarnya.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu, keciciran yang berlaku juga disebabkan kampung masyarakat Orang Asli jauh dari sekolah serta terpaksa tinggal di asrama pada usia seawal tujuh tahun.

Pihaknya juga sedang mengkaji bagi mengatasi isu kemasukan ke sekolah menengah yang masih membimbangkan memandangkan tiada sekolah menengah yang dibina di perkampungan Orang Asli.

Justeru Ismail Sabri juga meminta semua tok batin memberi kerjasama untuk menerangkan kepentingan pendidikan kepada masyarakatnya agar kesedaran dapat dipertingkatkan. – MalaysiaGazette