Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.

Katanya, kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

Jawatankuasa itu diketuai mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai pakar bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

“Jemaah Menteri bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah.

“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan.

“Tindakan ini amat signifikan bagi memastikan pindaan akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dr. Wan Junaidi berkata, kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah, antaranya pewujudan prosedur pra penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.

Kata beliau, keputusan berkaitan perkara itu menunjukkan keutamaan kerajaan emastikan hak semua pihak terpelihara dan terjamin, sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara dalam menambahbaik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik.

Jelasnya, kerajaan merakamkan penghargaan atas komitmen Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam penghasilan laporan kajian itu yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara lebih sistematik dan efektif. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Konon nak jadi maju macam Singapura, tetapi penguatkuasaan dan penjegahan jenayah kebelakang macam thailand. Lepas ini makin ramailah yang bakar,mengamuk kerana pengaruh dadah seperti ganja. Makin teruk tugas polis.

  2. Richard Malanjum yg berkempen utk PH tu?? haaaaa dah tentu laaa geng2 Ambiga….lemah betul kerajaan skrg ni yer…

Comments are closed.