Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Muttalib pada Majlis Pasca Syawal Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen dan Meraikan Bakal Haji 2022 di Maran hari ini.

MARAN – Sebanyak RM317,000 bagi melaksanakan Program Bandar Selamat (PBS) bagi tahun 2022 telah diperuntukkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM).

Timbalan Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Muttalib berkata,  Inisiatif Pemutihan Kawasan Blackspot di bawah PBS diperkenalkan dengan fokus mengurangkan kadar jenayah dan untuk meningkatkan persepsi rasa selamat dalam kalangan orang awam.

“Peruntukan ini bagi mereka menjalankan aktiviti berkaitan dengan kerja dan usaha untuk memastikan Maran sebuah bandar yang selamat aman tenteram dan ini melibatkan beberapa pekara seperti tangani masalah jenayah, masalah keindahan dan sebagainya.

“Inisiatif ini mula dilaksanakan pada tahun 2013 dan kawasan blackspot ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mendapat persetujuan pihak polis yang mana telah dibentangkan dan diperakui dalam Mesyuarat Majlis Penuh PBT,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata demikian kepada media selepas Majlis Pasca Syawal Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen maran dan Meraikan Bakal Haji 2022 di Maran pada Khamis.

Tambah Ismail, menurut daripada laporan MDM,  statistik indeks jenayah di kawasan Maran bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2021 telah mencatatkan beberapa kes jenayah seperti samun tanpa senjata, curi motokar dan pecah rumah.

Justeru itu, beberapa langkah pencegahan perlu diambil bagi mengurangkan kadar jenayah seperti membina rel penghadang sepanjang laluan pejalan kaki sepanjang 250 meter, papan tanda keselamatan (4 unit), cermin keselamatan (5 unit) dan lampu Limpah (3 unit).

“PLANMalaysia KPKT merupakan penyelaras Program Bandar Selamat bersama-sama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Semoga inisiatif  ini dapat meningkatkan tahap keselamatan penduduk di Maran di samping mewujudkan suasana yang selamat dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

PBS telah diwujudkan sejak 2004 bertujuan untuk mengurangkan jenayah dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat khususnya di bandar Maran.

Ianya meliputi penyediaan komponen Crime Prevention Environmental Design (CPTED) yang diaplikasikan di tapak dengan mengambilkira isu berkaitan dengan keselamatan komuniti atau penduduk bandar Maran.

Selain itu, ia bermatlamat bagi mencegah jenayah iaitu melalui pelaksanaan tiga strategi utama iaitu berbentuk persekitaran fizikal, memperkasakan awasan sasaran jenayah dan pengurusan penyertaan komuniti dan kesedaran awam. – MalaysiaGazette