ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Seorang penggangur mencuri sebuah kereta yang di dalamnya ada anak pemilik kenderaan itu berjaya diberkas ketika sekatan jalan raya di Gambang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek sempat memberhentikan kenderaan dan meninggalkan budak berusia sembilan tahun di tepi jalan ketika percubaan melarikan diri.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek memberi alasan mencuri kereta terbabit kerana mahu pulang ke kampungnya di Mentakab.

Suspek mencuri kereta seorang wanita yang meletakkan kenderaan di hadapan rumah rakannya di Felda Lepar Hilir dekat sini bagi mendapatkan rawatan kutu kepala dan meninggalkan anaknya di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan.

“Mangsa seorang peniaga nasi lemak itu mengatakan rawatan yang dilakukan sekejap sahaja dan atas sebab itu dia meninggalkan anak keduanya di dalam kereta.

“Pengadu telah meletakkan kereta di hadapan rumah kawannya, lalu pergi ke rumah tersebut dengan meninggalkan anak lelakinya di dalam kereta dalam keadaan enjin kereta masih hidup.

“Beberapa minit  kemudian, pengadu keluar dari rumah itu dan menyedari keretanya hilang dan ada saksi iaitu jiran terdekat rumah kawannya memberitahu ternampak seorang lelaki baru melarikan keretanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa kemudiannya terus menghubungi 999 meminta bantuan dan seterusnya bersama saksi bergegas menaiki kenderaan lain lalu mengejar suspek.

Katanya, pengadu melihat suspek memberhentikan kereta lalu anak lelakinya telah keluar daripada kenderaan manakala suspek terus membawa lari keretanya.

Mangsa kemudiannya mendapatkan anaknya dan terus mengejar suspek sehingga semasa tiba di Maran, suspek telah dapat ditahan oleh peronda polis.

Kemudian suspek yang berusia 35 tahun bersama mangsa dibawa ke Balai Polis Maran untuk dirakam keterangan dan membuat laporan.

Kes masih dalam siasatan dan diklasifikasi di bawah Sesyen 379A Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette