Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih kekal sebagai pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan memegang saham majoriti walaupun telah mengumumkan mengundur diri daripada pengurusan kelab.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards berkata, Tunku Mahkota Johor itu hanya melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada pengurusan JDT.

Beliau berkata, sebagai pemilik kelab, Tunku Ismail terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersial dan kewangan kelab.

“Ini bermakna Tunku Ismail tidak lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya, yang mana menjadi sebahagian daripada tugas Tunku Ismail di kelab sebelum ini.

“Perkembangan terbaharu ini juga bermakna baginda tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan. Sesuatu yang baginda sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung,” katanya menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tigers.

Edwards berkata, Tunku Ismail terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan JDT sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013.

“Kami memahami bahawa baginda perlu fokus kepada komitmen lain seperti  hal-hal berkaitan negeri dan pengurusan JDT terharu kerana diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

TMJ umum berundur dari JDT

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast