Noraini (kanan) menghadiri EduData Summit 2022 (EDS) di New York, Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat menitik beratkan penggunaan sistem pengumpulan data (EduData) bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, KPT telah membangunkan platform EduData dalam pelbagai sistem bagi membekalkan maklumat kepada Kementerian, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara berada di landasan yang betul .

“Kami menyedari kepentingan data-data ini, dan ia dikumpulkan daripada platform seperti MyMOHEs yang merupakan sistem yang digunakan dalam mengumpul data dari semua universiti awam (UA) dan e-IPTS pula untuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Selain itu, kita juga mempunyai papan pemuka pendidikan tinggi analitikal; Tracer Study untuk mengesan kebolehpasaran graduan; portal GREaT yang merupakan hab rujukan pekerjaan dan latihan graduan serta sistem-sistem penarafan seperti MYRA, SETARA dan MyQUEST,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pengalaman Malaysia Melaksanakan Pembelajaran Sepanjang Hayat Yang Mampan dan Inklusif melalui Edudata’ di EduData Summit 2022 (EDS) menerusi satu kenyataan hari ini.

EDS yang berlangsung pada 8 hingga 10 Jun 2022 di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat merupakan sebuah forum antarabangsa yang bertujuan sebagai platform perbincangan dan perkongsian amalan terbaik antara pakar-pakar data mengenai kepentingan data dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti.

Beliau menambah, data-data ini juga dapat mencadangkan inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk menambah baik kurikulum dan latihan sebelum pelajar memasuki pasaran kerja yang kompetitif.

“Jadi, kami dapat mempergiatkan kolaborasi akademik-industri untuk jangka panjang bagi merapatkan jurang antara kelayakan graduan kami dan pekerjaan yang tersedia di pasaran,” jelasnya.

Selain itu katanya, data yang diperolehi juga dapat membantu menjadi alat pengukuran penarafan yang mencerminkan kualiti yang dimiliki oleh IPT di Malaysia.

“Walaupun kami akui bahawa kualiti pendidikan tinggi boleh diukur dalam pelbagai cara, kami juga percaya ranking mencerminkan kualiti, ini terbukti apabila kesemua lima universiti penyelidikan kami disenaraikan dalam 50 terbaik universiti terbaik di Asia.

“Selain itu, salah satu universiti kami (Universiti Malaya) disenaraikan dalam 100 universiti terbaik terbaik dalam QS World Universities Ranking 2023, secara keseluruhan, empat universiti disenaraikan dalam 200 teratas,” katanya.

Dengan itu, tambah Noraini, pihaknya menyasarkan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025.

“Untuk mencapai sasaran ini, universiti tempatan kita telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuklah offshore programs,” jelasnya.

Noraini berkata, pihak KPT juga kini memberi fokus terhadap program micro-credentials dan Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Tambahnya, kini terdapat 11,000 kursus micro-credentials yang ditawarkan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti kursus pendek di institusi yang berbeza dan menggabungkannya untuk ditukar menjadi pensijilan yang dianugerahkan.

“Baru-baru ini, KPT melalui MQA melancarkan portal micro-credentials, bagi menjadi pusat sehenti untuk pelajar tempatan dan antarabangsa mendapatkan maklumat mengenai program yang ditawarkan di Malaysia.

“Melalui APEL pula, pemohon dibenarkan untuk menggunakan pengalaman bekerja untuk memperoleh kredit dalam program pengajian mereka,” tambahnya.- MalaysiaGazette