Muhammad Jailani Khamis

MELAKA – Kepercayaan dongeng atau mitos mengenai sikap orang Melaka kasar harus segera dihentikan bagi menjaga imej dan nama baik negeri bersejarah ini.

Exco Kebudayaan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia juga bersesuaian dengan pengertian hadis Nabi Muhammad SAW  yang meminta manusia menghormati tetamu walaupun mereka bukanlah tetamu yang disukai.

“Saya berharap sesiapa sahaja yang melakukan kesilapan dalam meminta maaf janganlah beri alasan ia memang cara orang Melaka, sebaliknya salahkanlah diri sendiri.

“Alasan ‘orang Melaka cakap kasar’ ini sama sekali tidak pernah wujud malah mitos ini harus segera dihentikan kerana kekasaran itu datang dari peribadi individu tertentu bukan suku atau rumpun bangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya di sini malam ini merujuk kepada laporan MalaysiaGazette semalam bertajuk ‘Saya minta maaf, saya naik angin ketika itu – Pekerja Restoran 3’ yang disiarkan semalam.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan bagi memastikan semua pihak termasuk peniaga di negeri ini menghormati tetamu yang menjadi pelancong ke negeri ini.

“Dari dulu lagi saya dah nasihatkan, layanlah tetamu dengan senyuman, polisi ‘serve with a smile’ yang saya perkenalkan dari tahun 2018 tetap tidak berubah.

“Kekasaran yang berlaku terhadap tetamu sama sekali tidak boleh diterima atas apa alasan sekalipun,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang pekerja Restoran 35 di Banda Hilir di sini memohon maaf kepada pelanggannya kerana gagal mengawal emosi sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Ia susulan sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 51 saat di media sosial mengenai seorang pelanggan dari Singapura diherdik dengan perkataan kasar yang menggambarkan mereka sekeluarga tidak mampu menikmati menu di restoran asam pedas berkenaan.

Dalam reaksinya semalam, pekerja berkenaan memberi alasan hanya pelanggan yang biasa dengan perkhidmatan restoran asam pedas itu sahaja yang tahu cara percakapan orang Melaka yang sememangnya kasar namun bukanlah bermaksud makian.

Ia kemudian mendapat pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan perbuatan itu tidak beradab malah seolah-olah menghina pelanggan yang membawa rezeki kepada peniaga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast