Friday, March 29, 2024
Home Politik MT PN maklum perbicangan tidak rasmi dengan parti lain – Muhyiddin

MT PN maklum perbicangan tidak rasmi dengan parti lain – Muhyiddin

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir minum petang bersama pimpinan parti dan masyarakat setempat di Kluang petang tadi.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional (PN) mengetahui perbincangan tidak rasmi pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dengan pemimpin parti politik lain.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Muhyiddin dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan oleh beliau malam tadi.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Haji Awang, Presiden Star Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi mengambil maklum tentang perbincangan tidak rasmi saya dengan pimpinan parti-parti politik yang lain,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini hangat dilaporkan dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa Muhyiddin pernah memaklumkan mempunyai 119 sokongan Ahli Parlimen.

Perkara tersebut dimaklumkan dalam perbincangan menerusi panggilan telefon.

Mohd. Shafie turut mendakwa Muhyiddin turut menghubungi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

“Dia ada menyebut dengan saya bahawa (beliau) ada sokongan 199 (ahli parlimen).

“Dia (Muhyiddin) juga menyatakan kepada saya, dia sudah berbincang dengan Anwar, Anthony Loke untuk membentuk kerajaan.
“So keadaan ini, kita dapat melihat kalau dia menafikan terserahlah…,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat MT PN juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan parti dan memperkukuhkan gerak kerja parti komponen dalam gabungan itu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

PN juga membuat persiapan dalam mendepani isu-isu semasa yang dihadapi rakyat.

Bagi memperkasakan gerak kerja PN, Muhyiddin mengumumkan pelantikan pengerusi PN di Pulau Pinang dan Johor.

Dominic Lau Hoe dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Pulau Pinang.

Manakala Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Johor.-MalaysiaGazette