Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan pindaan terhadap beberapa akta berkaitan dadah ekoran kewujudan pelbagai jenis dadah jenis baharu terutama syabu yang semakin menjadi pilihan pennagih di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum diserahkan kepada Peguam Negara.

“Contohnya sebelum ini bagi dadah jenis heroin, berat 15 gram memang dikenakan hukuman gantung, tapi bagi syabu dan pil ekstasi masih 50 gram.

“Itu yang kita cadang nak kurangkan lagi kepada 15 gram sebabnya sekarang ini banyak penagih terlibat dengan dadah jenis ini,” katanya ketika ditemui media selepas menjadi panel pada Seminar Isu Sosial Masyarakat 2022 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut Ayob Khan berkata, cadangan pindaan itu juga turut melibatkan tambahan kepada senarai bahan-bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai dadah jenis baharu.

“Kalau di negara luar ada 900 lebih bahan-bahan kimia yang tersenarai, tapi kita baru ada 60 lebih itu yang kita nak kena (pinda) senarai itu.

“Sebabnya, bahan-bahan kimia inilah yang digunakan untuk hasilkan dadah-dadah jenis baharu seperti syabu, ketamin, pil kuda, yaba dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette