Saksi yang merupakan naib presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan di Ambank (M) Berhad, Salmah Daman Huri berjalan keluar selepas hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan Ambank, Salmah Daman Huri memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa lebih £8.7 juta pemindahan dana dimasukkan ke dalam akaun persendirian Ambank milik Datuk Seri Najib Razak dengan nombor akaun berakhir 880.

Beliau berkata, sebanyak £8,706,021.92 yang ditukarkan kepada RM45,837,485.70 dimasukkan ke dalam akaun dengan nombor berakhir 880 di bawah nama AmPrivate Banking 1MY dilakukan Vista Equity International Partners menerusi lima transaksi antara 21 Oktober dan 19 Disember 2014.

Bagaimanapun ketika disoal balas oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Salmah mengakui beliau tidak tahu mengenai identiti pemilik akaun yang berakhir dengan nombor 880 itu adalah milik bekas Perdana menteri itu.

Salmah hanya mengetahuinya selepas diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika kenyataannya diambil untuk siasatan pada 2018.

“Saya tidak tahu semasa transaksi. Saya hanya tahu ketika keterangan saya direkodkan SPRM pada 2018. Ketika urusniaga pertukaran wang asing masuk ke akaun pelanggan, identiti hanya diketahui oleh Pengurus Perhubungan Bank sahaja,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Najib berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Salmah yang merupakan saksi ke-23 perbicaraan kes 1MDB itu berkata, beliau tidak pasti jika transaksi itu untuk Najib kerana yang berurusan dengan pemilik akaun adalah Pengurus Bank.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas menghadiri perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2022.

Sementara itu, Salmah memberitahu, pemilik akaun peribadi itu tidak pernah membuat sebarang laporan atau aduan berhubung urus niaga pertukaran mata wang asing yang banyak.

Untuk rekod, terdapat dakwaan Vista Equity International Partners yang berpangkalan di Seychelles dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

– Prosiding bersambung