MELAKA – Tindakan seorang ibu tunggal warga Filipina menetap di Malaysia menggunakan Mykad palsu sejak 21 tahun lalu berakhir hari ini apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Nabiha Mohd. Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Elenita Maisog, 51, selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, wanita kepada tiga anak itu didapati tanpa kuasa yang sah dan sebab munasabah telah memiliki kad pengenalan atau Mykad palsu atas nama Nuria Rahman beralamat di Sungai Udang, Melaka.
Kesalahan itu dikesan di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada jam 3 petang 9 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.
Sabit kesalahan, pembantu kantin sekolah itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, hasil semakan nombor kad pengenalan berkenaan merujuk kepada individu bernama Sapina sebelum tertuduh mengaku nama sebenarnya adalah Elenita Maisog dan berasal dari Misamis Occidental, Filipina.
Difahamkan, JPN berjaya mengesan kesalahan itu selepas tertuduh hadir ke pejabat JPN Melaka untuk proses pendaftaran kelahiran tiga anaknya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan dia seorang ibu tunggal yang perlu menyara tiga anaknya yang masih kecil.
Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kesalahan yang dilakukan wanita itu adalah lama sejak 21 tahun lalu.
Beliau turut memohon tertuduh diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai tempoh pemenjaraan bagi tujuan pengusiran.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dari tarikh ditangkap iaitu pada 9 Jun lalu. – MalaysiaGazette