KUALA LUMPUR – Kehadiran Parti Berjasa dalam arena politik tanah air akan membuka mata banyak pihak dengan kemunculan sulungnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini ditegaskan Yang Dipertua Berjasa Bahagian Sepang, Yudi Kurniawan Budi apabila kemunculan parti itu dalam program kerja amal membantu mangsa banjir pada Januari lalu bakal memberi saingan serta impak kepada parti lain.
Mengimbas peranan parti tersebut dalam gerak kerja amal, beliau berkata, kehadiran Berjasa telah mendapat maklum balas positif daripada rakyat terutama di Bahagian Sepang.
“Sejak lebih setahun lalu, Berjasa menerusi Bahagian Sepang telah menganjurkan banyak program dan menghulurkan bantuan kepada penduduk Parlimen itu, khususnya ketika musibah banjir Januari lalu.
“Kita menggerakkan kira-kira 500 sukarelawan yang berkhidmat untuk 25 misi bantuan banjir kepada lebih 1,000 mangsa banjir dengan membuka Bilik Gerakan Banjir di Bandar Baru Salak Tinggi.
“Tidak mustahil Berjasa akan membuka mata banyak pihak dengan kemunculan sulungnya dalam PRU15 ini di Parlimen Sepang dan bersedia bersaing untuk merebut kerusi kawasan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata beliau, parti itu telah melakukan persiapan awal dengan menggerakkan jenteranya bagi memberikan saingan kepada parti lawan pada PRU ini.
“Walaupun Berjasa bukanlah parti besar, namun kita akan terus berjuang sebagai sebuah parti yang mewakili suara rakyat hingga dikenali rakan dan lawan di atas pentas politik negara,” katanya. – MalaysiaGazette