Pemain Malaysia, Guilherme De Paula. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Bapa kepada pemain bola sepak, Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Wan Kamal menganggap pemain naturalisasi, Guilherme De Paula terlalu tua untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Menurut Wan Kamal, selain itu, pemain berusia 35 tahun itu sudah tidak memiliki kelajuan yang diperlukan untuk beraksi di pentas antarabangsa.

“Sebagai seorang pemain, Guilherme De Paula adalah seorang yang bijak dan seorang pemain bola sepak yang baik tetapi dia sudah terlalu tua untuk kerja ini (bermain bersama skuad negara).

“Kombinasi kekuatan dan kelajuan yang dia miliki sudah tiada lagi,” tulis di Instagram miliknya.

Sebelum aksi De Paula pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 ketika ini, ramai pihak khususnya peminat bola sepak tanah air mengkritik persembahan yang ditampilkan oleh penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang dianggap malas dan sering merosakkam tempo permainan.

Namun kekalahan kepada Bahrain pada Sabtu lalu menjadi kemuncak kepada kemaraham penyokong terhadap De Paula dan ramai menggesa agar ketua jurulatih, Kim Pan-gom tidak menurunkan pemain itu pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Bangladesh 14 Jun ini.

Ramai pihak mahu Pan-gon mengekalkan Darren Lok sebagai penyerang utama negara kerana pemain Petaling Jaya City itu dianggap jauh lebih baik berbanding De Paula dimana dia kerap memberikan tekanan terhadap pertahanan lawan dan perkara ini nyata banyak membantu pasukan negara.

Selepas tewas kepada Bahrain, Malaysia wajib meraih kemenangan ke atas Bangladesh sekiranya mahu melayakkan diri ke temasya Piala Asia tahun hadapan.

Pan-gon dijangka menurunkan barisan terkuatnya sama seperti ketika menewaskan Turkmenistan dengan keputusan 3-1 pada perlawanan pembukaan kumpulan E. – MalaysiaGazette