Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Dua pekerja pembersihan kontrak di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, maut terjatuh ketika membuat kerja-kerja pembersihan, tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, didapati dua pekerja lelaki berusia 34 dan 35 tahun itu, maut di tempat kejadian.

“Kedua (mangsa) warga tempatan dan kejadian (berlaku) lebih kurang jam 12.30 tengah hari semasa melakukan kerja pembersihan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan termasuk bagi mengenal pasti punca kejadian.

Kamarul Zaman berkata, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan bersimpati di atas kejadian yang menimpa pekerja daripada syarikat pembersihan profesional, yang dikontrakkan oleh JDT untuk menyelenggara fasiliti.

JDT pada masa sama turut memaklumkan sedang menunggu laporan penuh mengenai insiden itu daripada pihak berwajib, dan syarikat yang dikontrakkan untuk menyelenggara stadium itu. – Bernama