Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan kenderaan yang berjaya dirampas dalam Op Lejang Geng Remy Sentosa di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan enam anggota Geng Remy Sentosa, termasuk dua wanita, yang aktif mencuri kereta di empat buah negeri.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, suspek warga tempatan yang berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun diberkas di beberapa lokasi berasingan di Selangor dan Perak dalam serbuan Op Lejang yang dilakukan pada 4 Jun hingga 8 Jun.

“Hasil dari tangkapan yang dilakukan, polis telah berjaya merampas lapan buah kereta pelbagai jenis jenama Proton yang telah dilaporkan hilang di beberapa lokasi berbeza iaitu di sekitar Selangor, Perak, Melaka, dan Kuala Lumpur.

“Lapan kenderaan yang dicuri itu dilaporkan tahun ini sejak Januari lalu hingga bulan lepas” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Kesemua kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM60,000, dan dalam serbuan itu polis turut merampas dua buah telefon bimbit, dua batang pemutar skru, sebatang pahat, sebatang allen key yang telah diubah suai serta dua batang spanar pembuka tayar.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket itu menyasarkan kenderaan buatan Malaysia seperti Proton Wira, Iswara dan Putra.

“Salah seorang daripada suspek akan mengumpil pintu bahagian pemandu menggunakan sebatang pemutar skru dan kemudian membuka bonet hadapan untuk mematikan alat penggera dengan mencabut sambungan wayar sistem penggera.

“Kemudian motokar tersebut akan dihidupkan dengan menggunakan allen key yang telah diubah suai” katanya.

Jelasnya, kesemua kenderaan yang dicuri akan dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran hargaa RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada sesebuah model kereta.

Menurut Eng Lai, hasil semakan polis mendapati suspek terlibat dalam kegiatan mencuri kereta sejak 2014 dan lebih aktif pada tahun ini.

Dua orang wanita yang terlibat adalah teman wanita suspek utama dan mereka tahu tentang kegiatan mencuri kenderaan yang mana masing-masing mempunyai rekod dadah, ujarnya.

Tambah beliau, salah seorang suspek yang ditangkap mempunyai 33 pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau, manakala suspek utama mempunyai 24 rekod jenayah dan kini telah direman selama tujuh hari bermula 5 Jun hingga 11 Jun lalu bagi membantu siasatan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette