Ketua Penerangan dan Komunikasi Keadilan Sarawak, Abun Sui Anyit.

KUALA LUMPUR – China digesa menghormati kedaulatan Malaysia terutamanya dalam dakwaan pihaknya menceroboh kawasan perairan negara di Sabah dan Sarawak sejak kebelakangan ini.

Menurut Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Sarawak, Abun Sui Anyit, pihaknya sering mendapat aduan nelayan semakin tertekan kerana mata pencarian mereka terjejas dengan adanya aktiviti latihan ketenteraan di Laut China Selatan sehingga terpaksa berpatah balik.

Lebih mengecewakan apabila segelintir nelayan di Miri didakwa dibuli oleh pengawal laut dari republik berkenaan selain ada keliobat nelayan haram daripada China.

“Nelayan ini pula terpaksa beralih arah ke kawasan perikanan laut bergelora dan tidak begitu sesuai dengan kapasiti bot memandangkan tempat kebiasaan mereka kini ada banyak kapal peronda atau adanya latihan ketenteraan.

“Ada juga dakwaan datang pula nelayan haram dari China lakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley ini. Tidakkah semua ini agak membimbangkan? Kedaulatan kita diceroboh, rakyat kita hilang mata pencarian.

“Kita tidak ceroboh tempat orang lain tetapi mengapa kita terus diperlakukan seperti ini? Kita negara kecil sahaja, jangan buat begini. Kasihan kepada para nelayan kita yang cari makan kini seperti hilang tempat pencarian. Nelayan kita jadi takut.

“Ini juga hak asasi, bread and butter mereka perlu cari makan untuk kehidupan seharian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Abun Sui juga merupakan seorang pengamal undang-undang yang sependapat dengan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang menggesa supaya kerajaan khasnya Wisma Putra untuk bertegas isu pencerobohan perairan oleh China sejak akhir-akhir ini.

Kata Abun Sui lagi, walaupun kerajaan cuba melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merancakkan kembali ekonomi negara ianya tidak akan memberi impak atau penyelesaian kepada rakyat jika isu pencerobohan Laut China Selatan ini berterusan.

Jelas Ketua Cabang PKR Hulu Rajang itu lagi, dunia luar sedang memerhatikan isu ini malah negara jiran yang terjejas juga sudah beberapa tampil membuat aduan dan menyampaikannya ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

“Untuk makluman saya sebelum ini Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan.

“Sebenarnya Malaysia perlu bertindak secara kolektif bersama negara-negara ASEAN untuk mencapai resolusi dan kesefahaman bersama China bahawa tindakan mereka atas nama latihan atau tidak disengajakan,” tegasnya.

Sepanjang tahun 2021, Tentera Laut Diraja Malaysia telah melaporkan 23 kes pencerobohan di Zon Ekonomi Eksklusif Negara (EEZ) malah ia sudah bermula sejak tahun 2013 lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast