Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Sebuah tribunal akan diwujudkan bagi mengkaji lebih 1,342 kes banduan akhir sebelum pindaan rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, moratorium hukuman mati mandatori yang dilaksanakan sejak 2018 itu dikekalkan sehingga pemansuhan hukuman tersebut dimuktamadkan.

“Dalam hal ini, moratorium pelaksanaan hukuman mati masih dikekalkan berkuatkuasa sehingga tindakan susulan berkaitan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori termasuk pindanaan akta-akta berkaitan dilaksanakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Wan Junaidi berkata, masih terdapat banyak perkara perlu dibincangkan dan dikaji sebelum hukuman mati mandatori dimansuh sepenuhnya.

Antaranya, kata beliau, keseimbangan terhadap undang-undang, cadangan hukuman alternatif, kes telah dijatuhi hukuman, kes dalam siasatan dan kes melibatkan pengampunan.

“Masih banyak cabaran, masih banyak persoalan, masih banyak perkara yang perlu diambil kira oleh saya, kementerian bersama Peguam Negara untuk mengatasi masalah ini supaya pelaksanaan itu tidak bersikap tidak adil kepada semua.

“Jika kita ketahui sehingga 31 Disember 2020 sebanyak 144 negara telah memansuhkan hukuman mati manakala 55 negara masih mengekalkan hukuman mati dan yang mandatori itu memang tidak banyak,” ujarnya.

Jelas beliau, hukuman mati mandatori dimansuh ekoran ‘tangan hakim seolah-olah diikat’ dengan undang-undang sedia ada walaupun kemungkinan hakim mendapati hukuman lain lebih wajar dijatuhkan selain daripada hukuman mati mandatori.

“Hukuman mati dengan kuasa budi bicara mahkamah membawa maksud bagi mana-mana tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan atas suatu jenayah yang dilakukan, hakim boleh menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau sebatan mengikut budi bicaranya.

“Ia juga bergantung kepada jenis, keseriusan jenayah tersebut dan trend hukuman, keadaan mangsa, kerjasama dan keinsafan pesalah serta faktor-faktor pengurangan hukuman lain yang memihak kepada pesalah,” tambahnya.

Terdahulu, pada sidang media sama Wan Junaidi memaklumkan, pindaaan bagi memansuhkan hukuman mati mandatori akan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober depan.

Katanya, ia merupakan antara 11 peruntukan undang-undang yang dibacakan pada sidang Parlimen akan datang. – MalaysiaGazette