Foto Instagram Fazura.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan selebriti popular, Nur Fazura membuat kejutan untuk Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sempena sambutan ulang tahun baginda.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Fazura berkata, dia dan suaminya, Fattah Amin menerima jemputan tersebut dan diberikan misi untuk membawa kek untuk Tengku Permaisuri.

Bagaimanapun, semasa majlis kejutan berlangsung, Fazura berkata, dia dan suami sebaliknya yang bagaikan menerima kejutan.

“Tema majlis ialah Bollywood, tema yang sangat meriah. Faz dan Fattah adalah antara ‘hadiah’ kejutan kepada Tengku Permaisuri pada majlis tersebut.

“Misi kami membawa kek untuk memberikan kejutan manis kepada Tuanku Permaisuri. Itulah cadangannya namun ketika membawa kek menuju ke hadapan baginda sambil diiringi nyanyian lagu happy birthday, dapat dirasakan yang sedang mengalami kejutan ialah kami berdua.

“Sungguh, dapat kami lihat Tuanku Permaisuri sangat berkenan dan sukacita dengan kehadiran kami. Tuanku Sultan kurniakan senyuman. Sungguh besar jiwa baginda tuanku berdua,” tulis di media sosialnya semalam.

Foto Instagram Fazura.

Tambah Fazura, 38, dia juga menganggap pengalaman tersebut umpama sebuah kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

“Kami pulang dari majlis membawa pelbagai kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Yang paling tersemat di hati kami ialah baginda tuanku berdua kelihatan sangat manis dan pasangan yang sangat penyayang, baik dan merendah diri. Kami sangat kagum dan menjadi contoh kepada kami.

“Sekali lagi, doa kami buat Tuanku Permaisuri, semoga Allah SWT merahmati Tuanku selalu dengan kegembiraan dan semoga Tuanku sentiasa dalam lindungan-Nya. Semoga, Allah SWT lanjutkan usia Tuanku Sultan dan DYMM Tuanku Permaisuri, Amin,”katanya. – MalaysiaGazette