Datuk Siti Zauyah Md Desa. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-26 perbicaraan berprofil tinggi penyewelengan dana RM2.3 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kerajaan terpaksa menanggung hutang berjumlah AS$3 bilion yang dipinjam syarikat pelaburan itu pada 2013.

Bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata, surat sokongan untuk pinjaman terbabit telah ditandatangani oleh Najib yang ketika itu adalah Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Jelas Siti Zauyah, 1MDB tidak membayar pinjaman tersebut hingga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung bebanan hutang itu malah pihaknya juga tidak pernah dimaklumkan dengan sebarang laporan dan aktiviti perbelajaaan dana itu oleh syarikat pelaburan tersebut.

“Pinjaman itu adalah wang yang diperoleh daripada bon diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL), untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investment PJS (Aabar).

“Sepanjang saya bertugas di BPKA, saya tidak pernah terima apa-apa laporan daripada pihak pengurusan syarikat mengenai penggunaan dana berkenaan. 1MDB bertanggungjawab mengemukakan laporan pelaburan berdasarkan tujuan permohonan surat sokongan yang dikemukakan kepada MOF.

“Tetapi pihak 1MDB tidak pernah mengemukakan apa-apa laporan,” katanya ketika membaca keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Tambah saksi itu, beliau juga tidak pernah melihat apa-apa dokumen perjanjian antara 1MDB dan Aabar seperti yang dimaklumkan.

“Laporan mengenai usaha sama tidak pernah dikemukakan kepada bahagian saya. Saya juga tidak dapat pastikan jika 1MDB ini dapat kelulusan khas daripada Menteri Kewangan (Najib). Selepas surat sokongan kepada 1MDB pada 2013, kita tidak ada keluarkan apa-apa untuk 1MDB,” ujarnya.

Najib  Razak berjalan keluar selepas hadir bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2022.

Dalam keterangannya, Siti Zauyah mendakwa segala operasi 1MDB dilaporkan terus kepada Perdana Menteri ketika itu.

Jelasnya, Menteri Kewangan Diperbadankan mempunyai garis panduan untuk setiap syarikat di bawahnya kawalannya, yang mana mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada kementerian sebelum dibenar untuk meneruskan sebarang pelaburan.

Tetapi ini tidak dilakukan bagi 1MDB sebaliknya segala urusan syarikat berkenaan dilaporkan terus kepada Najib.

Prosiding akan bersambung esok. – MalaysiaGazette