KUALA LUMPUR – Mahalkah bayaran 50 sen untuk sekali masuk ke dalam tandas?

Seorang penjaga tandas di Terminal Bas Taman Ungku Tun Aminah (Tuta) di Johor Bahru, Johor sanggup menyerahkan gajinya kepada sesiapa yang sanggup menjaga dan membersihkan tandas selama sehari.

Semuanya gara-gara aduan yang dibuat oleh orang ramai yang merunggut kerana tandas yang dijaganya dikenakan bayaran sebanyak 50 sen sekali masuk.

Rungutan itu membuatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim terpaksa datang untuk membuat pemeriksaan mengejut.

“Uncle tu beritahu tadi kalau rasa mahal dia sanggup berikan gaji dia sehari untuk orang itu jaga tandas.

“Tengok mudah ke tidak nak jaga sehingga pukul 1 pagi. Nak basuh bersihkan kekotoran org setiap dua jam. Berak pun tak reti pam, dialah tukang pam,” ciap Marina di Twitter.

ADUN DAP itu membuat lawatan mengejut ke tandas berkenaan kerana tidak mahu mendengar cerita daripada sebelah pihak yang mendakwa bayaran sebanyak 50 sen itu sebagai mahal.

Daripada lawatannya itu, Marina mendengar sendiri bagaimana penjaga itu mendedahkan sikap dan mentaliti rakyat yang pengotor.

Menurut penjaga tandas itu, walaupun tong sampah disediakan di dalam tandas namun ada yang membuang sampah termasuk tuala wanita merata-rata.

“Tin minuman pun masukan dalam lubang tandas. Dah buang air tidak tahu cuci betul-betul,” kata Marina.

Penjaga tersebut berkata, kenaikan daripada 30 sen selama bertahun kepada 50 sen disebabkan kenaikan harga barangan dan kos gaji pekerja pembersihan yang perlu dibayar iaitu RM1,200 bagi seorang petugas.

Menurut Marina, dengan gaji sebanyak itu penjaga tersebut perlu melakukan kerja  yang orang tempatan banyak tidak mahu terlibat.

Malah pekerja asing juga mengelak untuk melakukan pekerjaan tersebut kerana mereka boleh mendapatkan gaji yang lumayan dalam sektor perkilangan dan pembuatan.

“Bila aku masuk tandas, memang bersih dan wangi. Cakap pasal kebersihan tandas ni, aku memang pelik setengah-setengah tu dah guna paip tandas tak reti letak elok-elok. Pemalas.

“Nak pakai tisu, sila pakai. Ni tak tahu buang org lain pula kena mengadap tisu kekuningan tu. Belum sembang berak tak reti pam.

“Kalau isu sampah kebanyakan orang suka buang sampah merata ni sebab pemikiran konon ‘nanti ada orang kutip’, ‘aku bayar cukai’. Jadi aku rasa situasi dalam tadas awam pun sama ‘nanti ada org bersihkan’,” bidas Marina.

Perkongsian yang dibuat oleh ADUN Skudai itu mendapat perhatian daripada netizen yangn rata-rata turut meluat dengan sikap pengotor setengah-setengah pengguna tandas awam.

Justeru menurut mereka bayaran 50 sen yang dikenakan tidaklah begitu tinggi jika dibandingkan dengan kerja-kerja yang terpaksa dilakukan oleh penjaga tandas berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast