Tangkap layar menunjukkan dua lelaki sedang bergaduh di hadapan sebuah restoran di Lebuh Chulia, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang juruteknik ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan dengan lelaki warga asing di hadapan restoran di Lebuh Chulia, yang video mengenainya tular di media sosial sejak kelmarin.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut di Lebuh Chulia pada jam 10.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komissioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 12.30 pagi di kawasan Lebuh Chulia sebelum laporan polis mengenainya dibuat oleh mangsa berusia 40 tahun.

”Mangsa mendakwa telah diserang oleh seorang lelaki dengan menggunakan botol minuman hingga menyebabkan dirinya mengalami kecederaan di bahagian muka.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati punca kejadian disebabkan mabuk dan berlaku pertengkaran mulut selepas suspek menegur pengadu secara kasar,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah Soffian, suspek berasal dari Negeri Sembilan dan bekerja sebagai juruteknik di sini tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Selain itu, ujian air kencing atasnya juga mendapati negatif sebarang jenis dadah.

“Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Jun ini  dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelas beliau.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 38 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter nanmanjoi8715 yang memaparkan dua lelaki sedang bergaduh di hadapan sebuah restoran.

Berdasarkan video itu, dua lelaki berkenaan dilihat saling bertumbuk sebelum pergaduhan itu dileraikan oleh beberapa orang awam. – MalaysiaGazette