Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan

KUALA LUMPUR – Pihak berwajib perlu segera mendakwa tiga pegawai kanan Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) yang disyaki terlibat dalam salah guna kuasa selepas  sudah ada ura-ura mengatakan kes ini mungkin digugurkan.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, pendakwaan perlu dilakukan segera kerana sehingga kini tiada tindakan diambil walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatan penuh ke Pejabat Peguam Negara pada April lalu.

“Sudah berbulan-bulan tetapi tidak ada apa-apa pendakwaan walaupun sebelum ini sudah dimaklumkan akan adanya pendakwaan dalam masa terdekat. Saya dimaklumkan SPRM sudah menyerahkan laporan bersama-sama bukti pada penghujung Mac.

“Kini sudah masuk bulan Jun, mengapa tidak ada apa-apa. Maka pastilah timbul macam-macam persoalan adakah kes ini sudah digugurkan walaupun ada bukti penyewelengan dan sebagainya.

“Isu ini tidak boleh dibiarkan sebab ia melibatkan kepentingan bumiputera serta duit rakyat. Malah, saya difahamkan pegawai terbabit juga sehingga hari ini tidak digantung kerja,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Ahmad mengulas laporan MalaysiaGazette bahawa AGC bakal menggugurkan kes membabitkan tiga pegawai kanan Mara Corp.

Namun, SPRM menyangkal dakwaan itu malah, Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki menyatakan tiada sebarang makluman daripada AGC berhubung kes itu.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan berkata, kerajaan harus telus dalam menangani isu integriti dan salah guna kuasa tanpa memilih ‘bulu’.

Jelasnya, ini juga penting bagi memastikan kestabilan khususnya kepentingan bumiputera terjamin di bawah mana-mana agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

“Jika benar kes melibatkan pegawai kanan Mara Corp. itu bakal digugurkan, maka tidak hairanlah kerajaan hari ini boleh muncul sebagai juara rasuah.

Situasi ini pasti menyebabkan pelabur takut untuk datang kerana muak dengan ketidakstabilan pentadbiran di negara ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

3 pegawai Mara Corp. disyaki salah guna kuasa, salah urus syarikat tidak akan didakwa?