Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2022.

KUALA LUMPUR –  Pihak pendakwaan dan pembelaan kes melibatkan remaja kurang upaya (OKU) Bella perlu berbincang dan berkongsi maklumat berkaitan senarai saksi.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi berkata, perkongsian maklumat berkaitan senarai saksi merupakan proses biasa dalam pengendalian kes di mahkamah.

Hakim tersebut turut menegaskan bahawa pihak pendakwaan mempunyai kuasa budi bicara untuk memanggil mana-mana saksi ke dalam mahkamah.

“Hal yang berkaitan dengan pengurusan kes seperti penyelarasan saksi-saksi dan sebagainya pihak-pihak boleh berbincang untuk mendapatkan maklumat antara satu sama lain.

“Saya nasihatkan itu proses biasa, kita masa bermula telah menetapkan perkara-perkara yang berkaitan dengan saksi.

“Walau bagaimanapun, sebagaimana kita semua maklum pemilihan saksi-saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan adalah atas budi bicara pihak pendakwaan, bila-bila (masa) pihak pendakwaan boleh menyusun mana (saksi) boleh dipanggil dan mana boleh ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum prosiding kes yang melibatkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali berlangsung pagi ini.

Terdahulu Izralizam bertanya kepada pihak pendakwaan berkenaan baki saksi yang akan dipanggil.

Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas kemudian memberitahu pihaknya akan memanggil 10 lagi saksi.

Sebelum ini media melaporkan, peguam pemerhati kes tersebut mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa perkara yang dilihat ‘tidak harmoni’ dalam perbicaraan kes remaja sindrom down itu.

Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, antara perkara yang dibangkitkan adalah ketidakhadiran Bella sebanyak dua kali bagi sesi pengecaman.

Menurutnya, pihaknya tidak dimaklumkan pihak pendakwaan lebih awal mengenai ketidakhadiran Bella sebanyak dua kali.

Katanya, senarai saksi pendakwaan juga perlu dimuktamadkan lebih awal dan sebarang perubahan yang mahu dibuat harus dimaklumkan kepada pihak berkaitan.

Khairul Anwar merupakan peguam pemerhati yang mewakili Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Perbicaraan hari ini bersambung dengan saksi kelapan pihak pendakwaan Suhana Zam, 40, akan menyambung memberikan keterangan.

Sebelum ini, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi terhadap Bella.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette