Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Julai depan bagi mendengar permohonan membenarkan peguam DiRaja United Kingdom atau di kenali sebagai Queen’s Counsel (QC) untuk mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan sabitan salah terhadap kes rasuah membabitkan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes usul pemula sebentar tadi.

Beliau turut mengarahkan Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur yang menjadi responden dalam kes untuk memfailkan jawapan mereka sebelum atau pada 27 Jun.

Peguam Najib juga telah diarahkan mahkamah untuk memfailkan jawapan kepada Majlis Peguam, Jawatankuasa Peguam KL, Peguam Negara, dan pemfailan pendakwaan selewat-lewatnya pada 4 Julai, dan semua pihak memfailkan hujahan bertulis mereka sebelum pada 5 Julai.

Sebelum ini, Pejabat Peguam Negara (AGC) menolak permohonan QC, Jonathan Laidlaw, untuk diterima masuk bagi berhujah dalam rayuan akhir kes SRC International.

Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul, dalam afidavit bantahannya berkata, Laidlaw tidak mempunyai kelayakan istimewa dan pengalaman langsung yang relevan terhadap penafsiran undang-undang dan isu dalam rayuan.

Katanya, Laidlaw juga tidak mempunyai pengalaman mengendalikan perbicaraan jenayah atau rayuan berhubung Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 209, Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan saja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Mahkamah juga pada masa sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho.

Ada dakwaan yang menyatakan Zeti digunakan Jho Low untuk memudahkan dirinya menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International. -MalaysiaGazette