Emir Faliq Lim dan Nur Aina bersama ibu masing-masing selepas diumumkan sebagai pelajar cemerlang SPM 2021 di SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Cabaran getir mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan pandemik Covid-19 tidak melunturkan semangat dua sahabat untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Emir Faliq Lim Adam Lim, 18 dan Nur Aina Fadhlina Ahmad Fazli, 18, masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul berjaya memperoleh 9A+ dalam semua mata pelajaran berdasarkan keputusan yang diumumkan hari ini.

Emir Faliq Lim berkata, selain sesi PdPR, dia juga memperuntukkan masa selama tiga jam setiap hari secara konsisten untuk mengulangkaji pelajaran bagi memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Emir Faliq Lim menunjukkan keputusan peperiksaan SPM kepada ibunya, Zarina.

Jelas anak bongsu daripada dua beradik itu, dia juga membahagikan masanya untuk bermain alat muzik ukulele bagi meredakan tekanan memandangkan sesi PdPR selama dua tahun membuatkan dirinya tidak aktif seperti kelaziman.

“Alhamdulillah saya sangat gembira atas keputusan yang diterima hari ini selain berterima kasih kepada ibu bapa serta kakak saya yang banyak membantu terutamanya melibatkan subjek sains tulen.

“Tidak lupa juga buat guru-guru dan rakan yang banyak membantu saya hingga capai ke tahap ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Emir Faliq Lim, dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Sementara itu, ibunya, Zarina Mohamed Ibrahim, 46, berkata, dia tidak menyangka anaknya akan mengikut jejak langkah anak sulungnya yang turut memperoleh semua A dalam peperiksaan tersebut.

“Sebagai ibu bapa kami melihat Emir seorang yang berdikari sejak kecil dan berusaha sendiri tanpa perlu disuruh meskipun dia seorang yang pendiam,” katanya.

Bagi Aina Fadhlina Ahmad Fazli, dia bersyukur memperoleh keputusan 9A+ sekali gus membanggakan ibunya, Nor Nordibradini Selamat, 46, yang juga merupakan ibu tunggal.

Nur Aina antara 17 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2021 bagi pertingkat negeri Pulau Pinang.

Jelasnya, selain bangun awal untuk mengulangkaji pelajaran, dia dan beberapa rakan lain sering berinteraksi secara atas talian bagi membincangkan beberapa subjek sepanjang tempoh PdPR.

“Alhamdulillah segala usaha membuahkan hasil kerana saya dan rakan-rakan lain memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

“Malah, selaku anak sulung saya juga ingin menjadi contoh yang baik kepada satu-satunya adik yang kini berada di Tingkatan 1 sekolah yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, ibunya yang juga pensyarah di Fakulti Pengurusan Maklumat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kedah meluahkan rasa syukur atas keputusan cemerlang yang diraih anaknya hari ini.

“Segala pengorbanan dan usaha Nur Aina terbalas dengan keputusan tersebut,” jelasnya yang menetap di Bayan Lepas. – MalaysiaGazette