Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan ditangkap di Kampung Olak Lempit, Kuala Langat kerana mengugut dan mendatangkan kecederaan terhadap kerani sebuah syarikat penerbangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, suspek yang merupakan sepupu kepada mangsa, wanita berusia 27 tahun, bertengkar dengan bapa saudaranya yang membuat bising ketika anaknya sedang tidur pada 1 Mei yang lalu.

Jelas beliau, berikutan itu, suspek, 36, mengugut keluarga mangsa dengan sebatang besi dan batu.

Katanya, suspek turut mengakibatkan kecederaan kecil pada bibir mangsa.

“Berikutan itu telah berlaku pertengkaran di antara keluarga pengadu dengan keluarga bapa saudara yang tinggal serumah,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar beliau, ketika tangkapan dibuat pada Selasa lalu, polis turut merampas sejumlah dadah jenis ganja seberat 256.85 gram bernilai RM2,500 dan selaras senapang angin.

“Juga dirampas, satu bekas bulat bertutup biru bertulis steel ball saiz 1/4, sekeping papan kayu pemotong, sebilah pisau besi, sebuah beg sandang, sebuah penimbang digital warna hitam dan satu botol minuman bertulis sting energy boost yang telah diubah suai,” tambahnya.

Ahmad Ridhwan menambah, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod jenayah narkotik.

Suspek aktif dalam kegiatan dadah di kawasan Banting sejak tiga tahun lalu, ujarnya.

Katanya, suspek direman selama lima hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali dan melakukan ugutan jenayah yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Suspek boleh dituduh di bawah 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tiruan juga bakal berhadapan penjara maksimum satu tahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duannya sekali jika sabit kesalahan dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati. – MalaysiaGazette