Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Selepas dua kali tertangguh remaja kelainan upaya (OKU) Bella dijadual hadir ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi prosiding pengecaman.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya (TPP), Nor Azizah Mohamad selain Bella, turut hadir lima kanak-kanak lain yang dijaga oleh Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bagi prosiding yang sama.

Turut hadir saksi pertama pendakwaan, Zurianty Sudin, 39 dan saksi kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19 yang juga akan melakukan proses pengecaman.

Sebelum ini, remaja yang menghidap sindrom Down itu dijadual hadir ke mahkamah bagi prosiding pengecaman pada 30 Mei lalu namun ditangguhkan kerana demam.

Isnin lalu Bella turut dijadualkan hadir ke mahkamah namun sekali lagi ditangguhkan.

Tindakan tersebut menyebabkan peguam pemerhati yang mewakili Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa perkara yang dilihat ‘tidak harmoni’ dalam perbicaraan kes remaja sindrom down itu.

Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, antara perkara yang dibangkitkan adalah ketidakhadiran kali kedua Bella bagi sesi pengecaman.

Menurut beliau, pihaknya tidak dimaklumkan pihak pendakwaan lebih awal mengenai ketidakhadiran Bella.

“Kami baru dimaklumkan Bella tidak sihat hari ini menyebabkan berlaku rasa curiga sedangkan remaja terbabit sihat dalam sesi pertemuan di pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), baru-baru ini.

“Jika benar Bella tidak sihat, mungkin pihak pendakwaan boleh maklumkan lebih awal kepada pasukan pemerhati dan peguam bela,” katanya.

Semalam Hakim Izralizam Sanusi yang mengendalikan kes tersebut menasihatkan pihak pendakwaan dan pembelaan agar bekerjasama dalam berkongsi maklumat berkaitan pengurusan kes termasuk penyelarasan saksi.

Izralizam berkata, perkara berkaitan penyelarasan saksi adalah proses biasa dalam pengendalian di mahkamah.

“Sebagaimana kita semua maklum pemilihan saksi-saksi ditawarkan oleh pihak pendakwaan adalah atas budi bicara pihak pendakwaan, bila-bila pihak pendakwaan boleh menyusun (saksi) yang mana boleh dipanggil dan yang mana boleh ditawarkan.

“Saya nasihatkan ya, itu proses biasa… itu adalah perkara asas yang semua orang patut tahu. Budi bicara tersebut adalah urusan pihak pendakwaan,” katanya di dalam Mahkamah Sesyen.

Seramai lapan saksi pendakwaan telah memberikan keterangan dalam kes itu.

Saksi kelapan Suhana Zam, 40, dijadual menyambung sesi pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Perbicaraan tamat kira-kira pukul 3.30 petang semalam selepas Suhana mengadu tidak sihat kepada hakim.

Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette