SHAH ALAM – Polis Selangor masih memburu empat dari tujuh individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung dua kes pergaduhan berkumpulan di Alam Megah dan Seri Muda, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ia susulan penahanan tiga dari tujuh individu yang dikehendaki polis, baru-baru ini.
“Bagi kes Seksyen 302, ada tiga tangkapan tambahan. Sebelum ini ada tujuh yang dikehendaki untuk kes tersebut.
“Justeru ada baki empat lagi yang sedang dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Menurutnya, tiga individu terbabit berjaya ditahan hasil maklumat yang disalurkan masyarakat dan media selepas gambar individu dikehendaki berkenaan diuar-uarkan kepada umum.
Katanya, tangkapan dilakukan dalam tempoh antara 4 September sehingga selepas gambar mereka dikeluarkan.
“Kita berterima kasih kepada masyarakat, orang awam dan media. Selepas gambar individu dikehendaki tersebut diuar-uarkan, kita dapat tangkap tiga lagi.
“Ini terus membantu pihak polis mengesan baki empat lagi,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan baki individu berkenaan sedang dijalankan.
“Mereka yang diburu berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.
“Kes berkenaan melibatkan pertuduhan yang sama di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















