Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberikan bayangan beliau tidak akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini kerana, parti berkenaan adalah wadah baharu polik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu,

“Saya ingin menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya.

“Kita akan terus bergerak sederap bersama seluruh anggota Bersatu untuk membangunkan sebuah Kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat.

”Sesungguhnya, Bersatu wadah unggul untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Azmin membuat kenyataan itu selepas desas-desus kuat menyatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama dengan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Rashid Hasnon.

Spekulasi itu dikaitkan dengan peletakan jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta MPT Bersatu pada 26 Mei lalu.

Zuraida kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sebelum ini, Muhyiddin turut membuat penafian dengan menyatakan Azmin seorang rakan yang baik dan sangat rapat dengan beliau.

Dalam pada itu, Azmin berkata, citra Bersatu yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu dan berupaya mendepani cabaran semasa.

Jelasnya, idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

“Justeru, saya amat menghargai dan berterima kasih di atas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama Bersatu sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat.

“Dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh Muhyiddin khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran, telah meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh dan berdaya tahan bagi menjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan,” jelas Ahli Parlimen Gombak itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast