Pelajar MRSM ketika menduduki peperiksaan SPM 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 5,827 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian tinggi dalam semua subjek dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 yang diumumkan semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 904 orang calon MRSM memperoleh semua A merangkumi A+, A dan A-,

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pencapaian pelajar MRSM ini satu kejayaan yang memberangsangkan kerana mereka merupakan kohort yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak mereka di Tingkatan 4.

SPM 2021 juga merupakan peperiksaan yang pertama kali menggunakan format baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM yang memperkenalkan Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, penjajaran subjek Bahasa Inggeris kepada The Common European Framework of Reference for Languages
(CEFR) serta Ujian Amali Sains.

”Walaupun terdapat perubahan dalam format kertas peperiksaan, kedua-dua subjek teras tersebut menunjukkan pencapaian yang baik oleh pelajar MRSM,” katanya.

Subjek Bahasa Melayu menunjukkan pencapaian Gred Purata Subjek (GPS) 1.097 dengan seramai 6,682 orang calon memperoleh gred A manakala bagi subjek Bahasa Inggeris mencapai GPS 1.577 dengan bilangan calon seramai 5,749 orang.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2021 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.536.

Sebanyak empat buah MRSM mencatat prestasi cemerlang dengan GPM kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Taiping, MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Langkawi dan MRSM Tun Abdul Razak.

Untuk rekod, seramai 7,307 orang pelajar dari 53 buah MRSM di seluruh Malaysia menduduki peperiksaan SPM 2021 pada bulan Mac 2022. – MalaysiaGazette