Tangisan Di Baitullah memaparkan seleksi kisah penghijrahan mereka yang rindu untuk meratap dan bermuhasabah diri di Baitullah

KUALA LUMPUR – Menggalas tanggungjawab besar sebagai stesen televisyen yang mempromosikan gaya hidup Islam, TV AlHijrah sentiasa meletakkan kepentingan dakwah Islamiah sebagai roh dan orientasi penyiarannya.

Ini termasuk meletakkan komitmen untuk menjadi stesen televisyen utama negara yang meraikan hari kebesaran Islam menurut sunnah Baginda Rasulullah S.A.W.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata, TV AlHijrah masih mengekalkan tradisi sebagai sebuah stesen televisyen utama di Malaysia yang meraikan hari kebesaran Islam dengan penuh barakah. 

“TV AlHijrah memilih untuk meraikan Zulhijah secara umumnya dan Aidiladha secara spesifiknya dengan melancarkan kempen Program Haji 1443H bermula 20 Jun 2022 hingga 13 Julai 2022.

“Pada tahun ini, tema Baitullah Bertemu Kembali diangkat menjadi latar, tema dan panduan kepada kandungan yang ditayangkan di stesen ini sepanjang kempen haji 1443H berlangsung.

“Tema ini turut jelas menyatakan objektif penyiaran kami sepanjang Zulhijah ini iaitu menjadi stesen pemangkin inspirasi yang mendorong keinginan penonton semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah apabila berkemampuan,” katanya pada Majlis Sidang Media Pelancaran Kempen Haji 1443H baru-baru ini.

Namanzee berkata, cabaran saban tahun dalam mencorak arah serta hala tuju program-program yang terbaik dan menarik untuk disajikan buat penonton tidak pernah mematahkan semangat stesen TV AlHijrah untuk terus berbakti kepada penonton.

“Jumlah tontonan TV AlHijrah pada kempen haji 1442H yang lalu iaitu pada tahun 2021 adalah sebanyak 3.3 juta tontonan. Jumlah ini amat memberangsangkan bagi stesen berkonsepkan Islam seperti kami. 

“Jumlah tontonan ini juga telah menjadi pemangkin semangat serta suntikan motivasi untuk kami menghidangkan lebih banyak program menarik dan berkualiti pada tahun ini yang merangkumi program-program keagamaan, bual bicara, dokumentari, program masakan, rancangan khas seperti kapsul serta lintas langsung dari Mekah Al Mukarramah.

“Saya menyeru masyarakat Malaysia untuk sama-sama menyebar luas serta mempromosikan program-program haji di TV AlHijrah serta menontonnya,” kongsinya lagi.

Sementara itu, TV AlHijrah akan menyediakan sembilan program menarik dan terbaharu yang disediakan khas buat santapan rohani penonton disamping program-program sedia ada. 

Penonton menyaksikan program bual bicara Live Labbaikallah yang telah memasuki tahun kesepuluh siaran yang bakal dikemudi oleh Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ustaz Azhar Ghazali.

Sembang Haji pula membincangkan isu-isu haji dan menjawab persoalan serta tanda tanya dalam kalangan masyarakat manakala Tangisan Di Baitullah yang memaparkan seleksi kisah penghijrahan mereka yang rindu untuk meratap dan bermuhasabah diri di Baitullah untuk dijadikan pedoman penonton.

Paling istimewa, TV AlHijrah bakal menyiarkan Munajat Arafah yang akan bersiaran secara langsung selama 17 jam bermula seawal 5 pagi hingga 10 malam bersempena hari Arafah.

Turut disiarkan adalah rancangan Peristiwa Arafah yang memberikan gambaran kepada penonton kehidupan di Padang Mahsyar serta ibrah daripadanya.

Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti Musafir Agung, Seikhlas Hati, Riwayat Akhir Zaman dan Interaktif Haji termasuk program masakan, Camca.

Turut disiarkan di TV Alhijrah adalah telefilem khas Aidiladha berjudul Campervan Haji Meon.

Penonton juga boleh mendapatkan perkembangan terkini pergerakan jemaah haji Malaysia di tanah suci Mekah menerusi laporan harian eksklusif oleh dua petugas TV AlHijrah di sana.

Laporan ini dimuatkan di dalam Berita AlHijrah setiap hari dan juga portal berita Alhijrahnews.com hingga selesai kemuncak musim haji.

Turut disiarkan, telefilem khas Aidiladha berjudul Campervan Haji Meon. Bakal disiarkan pada 10 Julai ini pukul malam, telefilem lakonan Jalil Hamid, Fauziah Nawi dan Yamani Abdillah ini berkisar sekitar kisah hidup Pak Meon yang akan menunaikan haji buat kali kedua.

Sebelum berangkat ke Tanah Suci, Pak Meon berhasrat untuk berjumpa semua anggota kugirannya sewaktu dia muda dahulu untuk memohon kemaafan atas kesalahan pada masa lalu.

Pelbagai kejadian tidak dijangka berlaku sepanjang perjalanan Pak Meon mencari ke semua sahabat-sahabatnya.

Rancangan-rancangan menarik Kempen Haji 1443H di TV AlHijrah turut boleh dinikmati menerusi aplikasi telefon bimbit stesen ini yang dikenali sebagai AlHijrah Plus.

Lebih 5,000 program ilmu pendidikan serta hiburan berlandaskan Islam dapat ditonton bila-bila masa dan di mana sahaja. – MalaysiaGazette