Pro Naib Canselor Universiti UCSI (Kampus Kuala Lumpur), Profesor Dato’ Dr Toh Kian Kok (tiga,kiri) bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan delegasi lain ketika menerima anugerah tersebut.

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI menjadi universiti tunggal di dunia yang menerima pengiktirafan atas kecemerlangan dalam bidang pengajian tinggi sempena QS EduData Summit (EDS) 2022 edisi ketujuh di New York, Amerika Syarikat, minggu lalu.

UCSI dianugerahkan ‘QS Recognition for Improvement’ atas pencapaian berterusan memperbaiki kedudukan dalam QS World University Rankings.

Terbaharu, UCSI mendaki 63 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-284 terbaik dunia, sekali gus menempatkan diri dalam kelompok 0.9% bagi QS World University Rankings 2023 yang diumumkan baru-baru ini.

Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pengiktirafan itu merupakan hasil kerja keras semua pihak sekaligus membuktikan UCSI berada di landasan yang tepat.

”Pencapaian berterusan adalah sebahagian DNA UCSI dan ini menunjukkan kita bergerak atas landasan yang tepat.

Peningkatan profil global UCSI ini akan memberi ruang kepada UCSI mencipta peluang baharu untuk kolaborasi dengan universiti ternama dunia khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembudayaan ilmu,” katanya.

Anugerah QS EDS Summit 2022 itu diberikan kepada universiti yang menunjukkan peningkatan kedudukan paling banyak secara purata dan UCSI merupakan satu-satunya universiti yang menerima pengiktirafan tersebut.

UCSI pertama kali disenaraikan dalam QS World University Rankings pada edisi 2019 dan menjadi satu-satunya universiti swasta di Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 500 terbaik dunia ketika itu. – MalaysiaGazette