Hishammuddin Hussein semasa pertemuan dengan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman ketika mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Arab Saudi merancang untuk melakukan kerjasama bagi membangunkan industri pertahanan kedua-dua negara.

Perkara tersebut dibincangkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein  bersama Putera Mahkota Arab Saudi yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed Salman ketika mengadakan lawatan rasmi ke negara tersebut.

Menurut Hishammuddin, bagi tujuan itu sebuah kumpulan kerja akan ditubuhkan antara Pihak Berkuasa Indusri Pertahanan Arab Saudi (GAMI), Bahagian Industri Pertahanan (DIS) Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Kumpulan kerja tersebut akan berbincang mengenai perkongsian pengetahuan dan potensi kerjasama industri pertahanan kedua-dua negara.

Tambah Hishammuddin, Industri Pertahanan Arab Saudi (SAMI) juga akan memperkukuhkan kerjasama dengan LTAT untuk meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak.

Lawatan rasmi itu turut menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan hubungan pertahanan ke tahap yang lebih tinggi.

Malaysia dan Arab Saudi bersetuju membentuk Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) melibatkan tiga perkara iaitu kerjasama tentera-ke-tentera, industri pertahanan dan kebajikan anggota veteran tentera.

“Meningkatkan kerjasama tentera-ke-tentera melibatkan tiga bidang utama yang tertumpu kepada kepakaran, perubatan dan perisikan,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam lawatan rasmi berkenaan, Hishammuddin turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertahanan Arab Saudi Khalid bin Salman.

Kedua-dua mereka berbincang mengenai hubungan strategik Malaysia dan Arab Saudi selain mahu mengkaji semula aspek kerjasama dan perkongsian dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.

Hishammuddin turut mengambil kesempatan dalam pertemuan itu untuk berbincang perkara yang melibatkan kerjasama Malaysia dan Arab Saudi antaranya termasuk usahasama dalam industri minyak dan gas antara syarikat Saudi Aramco dan Petronas.

Beliau turut mengutarakan kerjasama berkaitan keselamatan makanan yang meliputi eksport industri halal dan minyak sawit ke Arab Saudi.

Turut dibincangkan kerjasama ekonomi dan kewangan melalui peluang kerjasama dengan dana kekayaan negara Arab iaitu Public Investment Fund (PIF) dan Bursa Saham Saudi (Tadawul).

Hishammuddin turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara dan Ahli Kabinet Arab Saudi Putera Turki bin Mohammad bin Fahd.

“Kami menekankan hubungan dua hala yang kukuh dan aspek kerjasama dalam pelbagai bidang,” kata Hishammuddin.

Menurutnya, hasil lawatan tersebut akan dilaporkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Hasil laporan itu sebagai persediaan untuk Perdana Menteri melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi.- MalayasiaGazette