ARAHAN visual seperti membaca paparan peta adalah teknik biasa untuk mencari arah atau bantuan navigasi.
Walau bagaimanapun, perkara ini menjadi satu batasan kepada mereka yang mengalami penurunan ketajaman visual dan deria lain disebabkan faktor usia, serta warga emas yang umumnya berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah gangguan kognitif.
Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk menghasilkan peranti navigasi berbantu untuk pengguna dari golongan ini. Hal ini turut mengambil kira peningkatan jumlah penduduk warga emas di Malaysia yang bertambah mengikut rekod Banci Malaysia 2020.
Penyelidik Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Rosalam Che Me telah membangunkan inovasi dengan teknologi haptik yang direka khusus sebagai peranti navigasi untuk warga emas yang mengalami gangguan kognitif seperti demensia.
Sistem peranti ini dilengkapi dengan teknologi rangsangan haptik sebagai isyarat utama, tanpa memerlukan arahan visual dan konsep navigasi ini menyediakan maklumat navigasi yang paling mudah iaitu bergerak ke kiri, kanan dan hadapan.
Menurut Ts. Dr. Rosalam, peranti ini direka bentuk supaya ia boleh dipakai seperti tali pinggang. Ia dilengkapi dengan siri motor getaran mini yang menghasilkan rangsangan haptik dalam bentuk gelombang (waveform).
”Siri motor getaran disusun secara mendatar mengikut urutan seperti tali pinggang yang mengikut garis pinggang dan ia diaktifkan dengan selang masa untuk menghasilkan isyarat haptik dalam bentuk gelombang (waveform). Isyarat haptik bentuk gelombang bertujuan bagi menghasilkan rasa seperti ditolak atau push sensation kepada pengguna apabila memakai peranti ini dan membantu mendorong pengguna mengambil arah yang betul,” katanya.
Tambah beliau, garis pinggang adalah salah satu bahagian badan terbaik untuk peranti boleh pakai serta bagi teknologi maklum balas haptik kerana ia tidak mengganggu pergerakan serta mempunyai kepekaan tinggi untuk merasakan isyarat haptik.
”Penambahan isyarat bunyi ke dalam sistem ini dapat menambah kecekapan reka bentuk keseluruhan peranti. Signal bunyi dalam bentuk arahan suara akan diberikan kepada pengguna secara serentak apabila isyarat haptik dihasilkan – belok kanan, belok kiri dan bergerak ke hadapan.
”Sistem peranti ini dilengkapi dengan aplikasi mudah alih bersepadu yang bertujuan untuk memantau pengguna apabila peranti sedang digunakan. Aplikasi tersebut membolehkan aktiviti mereka dan tempat yang dilawati dipantau dan direkodkan dalam
sistem. Ia akan dapat meningkatkan kebebasan pengguna dan pada masa yang sama mengadaptasi amalan norma baharu ketika fasa andemik,” katanya.
Ciri-ciri peranti yang tidak rumit adalah penting untuk mengelakkan gangguan atau kekeliruan oleh pengguna semasa mencari jalan terutamanya bagi golongan tua yang mengalami gangguan kognitif seperti dementia.
Peranti navigasi bantuan ini juga direka untuk membolehkan pemantauan dan penyeliaan pengguna.
Aplikasi mudah alih yang disertakan dapat menyediakan maklumat yang berguna untuk tujuan pemantauan, terutamanya bagi penjaga atau ahli terapi mereka melalui paparan visual dalam bentuk video dan imej daripada kamera yang dipasang pada peranti.
Penggunaan aplikasi ini dapat meningkatkan keyakinan terhadap penjaga untuk membenarkan pengguna menggunakan peranti tanpa pengawasan dan pada masa yang sama meningkatkan kebebasan pengguna.