Azahari (tengah) ketika menghadiri program pelepasan 100,000 ribu benih dan ikan di Segamat pagi tadi.

SEGAMAT – Sebanyak 400,000 ekor benih pelbagai spesis ikan telah dilepaskan oleh Jabatan Perikanan Johor di perairan negeri ini sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Kemajuan Luar Bandar Datuk Azahari Sarip berkata, usaha ini bagi melestarikan alam sekitar serta pemuliharaan sumber dan biodiversiti perikanan darat dapat dicapai.

Langkah ini juga meningkatkan bekalan makanan negara bagi memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

”Pertambahan stok ikan di perairan umum juga antara usaha bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan.

”Impak ekonomi secara langsung yang akan dirasai oleh nelayan dan golongan sasar melalui hasil tangkapan dan nilai tangkapan sekitar RM300,000 dalam jangka masa tiga hingga enam bulan selepas pelepasan dibuat,” katanya selepas majlis Program Pelepasan Benih Ikan di Pantai Kampung Awat Segamat, di sini.

Beliau berkata, Jabatan Perikatan hanya melepaskan spesis ikan sedia ada di perairan tertentu demi mengelakkan kepupusan spesis asal.

Ini kerana, tindakan melepaskan ikan asing akan menyebabkan ikan-ikan di kawasan tersebut menjadi mangsa kepada ikan asing yang bersifat lebih agresif.

Berikutan itu, beliau mengingatkan orang awam yang memiliki ikan asing sebagai ikan peliharaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan ikan tersebut ke perairan umum.

Masyarakat perlu sentiasa mematuhi peraturan dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menggangu ekosistem yang menjejaskan sumber perikanan negara.

Antara perkara yang perlu dielakkan ialah meracun, menuba dan eletrik ikan serta menggunakan peralatan tidak dibenarkan untuk memastikan sumber ikan dapat membiak.

“Jabatan Perikanan Negeri Johor sentiasa komited mengurus sumber perikanan, menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus bertekad melindungi sumber perikanan di perairan Johor,” tambah Azahari.

Terdahulu dalam program tersebut, beliau melepaskan 100,000 ekor benih ikan dan udang galah bernilai RM100,000 di Pantai Kampung Awat Segamat. – MalaysiaGazette