Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi Ahli Parlimen yang melompat daripada PKR ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan akan keluar parti.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Seri Rashid Hasnon berkata, beliau juga tetap istiqamah dalam perjuangan bersama Bersatu.

“(Saya) masih kekal Bersatu bersama Datuk Seri Azmin,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette.

Rashid dan Azmin sebelum ini terpalit kontroversi atas dakwaan akan keluar Bersatu.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar telah menafikan akan meninggalkan Bersatu.

Malah beliau juga tidak berminat untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak akan meninggalkan Bersatu dan menjadikan parti itu sebagai wadah perjuangan beliau.

Azmin membuat kenyataan itu selepas desas-desus kuat menyatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama dengan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Rashid Hasnon.

Spekulasi itu dikaitkan dengan peletakan jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta MPT Bersatu pada 26 Mei lalu. – MalaysiaGazette