MELAKA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sukarelawan Bencana Melaka, bertekad untuk berada sebaris dengan agensi kerajaan dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat yang ditimpa musibah termasuk golongan asnaf di seluruh negara khususnya Melaka.
Presidennya, Ashwad Abd Rahim berkata, pihaknya komited untuk menjadi pelengkap kepada agensi berkenaan terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam pengurusan bantuan bencana.
Menurutnya, sebagai sebuah Keluarga Malaysia, sudah tiba masanya sukarelawan yang aktif sejak 2018 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) April lalu itu bergerak secara serius dan tersusun.
“Jika kita mengharapkan agensi kerajaan semata-mata untuk memikul tugas ini, mungkin agak sukar terutamanya ketika banyak kawasan berlaku bencana pada satu-satu masa dan di situlah kami akan memainkan peranan.
“Kita ada pasukan respon dan pasukan perubatan menggunakan kira-kira 20 buah pacuan empat roda yang sudah bersedia 24 jam untuk membantu agensi-agensi ini menyelamatkan mangsa di kawasan bencana terutamanya banjir.
“Kelebihan kita adalah semua 77 ahli setakat ini mempunyai maklumat daripada orang kampung dan akan terus disalurkan kepada pasukan respon untuk menghulurkan bantuan awal,” katanya selepas mesyuarat agung pertama NGO berkenaan di Ayer Keroh di sini.
Mengulas lanjut ahli perniagaan itu berkata, bantuan bencana dihulurkan itu bagaimanapun tidak terhad di Melaka semata-mata, malah akan bergerak ke negeri-negeri lain yang memerlukan khususnya ketika musim tengkujuh.
“Tugas kami adalah bila sampai ke tempat bencana sahaja, kita akan kenal pasti mangsa terlibat dan bawa mereka ke tempat selamat selain mengalihkan kenderaan mereka ke kawasan tinggi.
“Selain itu, sukarelawan ini jika mempunyai pasukan asnaf untuk meringankan beban mereka termasuklah membantu menguruskan pendaftaran pengajian anak-anak asnaf ini sementara mereka mendapatkan bantuan daripada agensi berkenaan,” katanya.
Tambahnya, Sukarelawan Bencana Melaka menyasarkan 200 ahli untuk memperkasakan lagi peranan mereka bersama-sama membantu kerajaan meringankan beban rakyat yang memerlukan. – MalaysiaGazette.